SELAMAT DATANG KE BLOG PERIBADI BLOGGER CUCUMATKILAU (CMK)

Kerajaan Pahang Di Gesa Pantau Sindiket Jual Tanah Tanpa Geran !


KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang digesa memantau sindiket jual tanah tanpa geran yang melibatkan "orang dalam" hingga menafikan hak rakyat negeri ini untuk mendapatkan tanah secara mengikut peraturan yang ditetapkan.

Prosedur permohonan tanah yang dilihat lebih menguntungkan pihak-pihak tertentu sebelum ini dan merugikan Kerajaan Negeri Pahang perlulah dihalang dan dihapuskan.

Bayangkan rakyat marhaen ada yang sampai meninggal dunia menunggu kelulusan tanah yang dipohon. Malah, ada yang sampai 30 hingga 40 tahun menunggu namun masih tidak mendapat kelulusan sewajarnya. Sedangkan ramai pemohon yang berduit begitu mudah mendapat tanah, tanpa perlu mengikut prosedur permohonan yang sepatutnya.

Demikian ditegaskan oleh Penyelaras NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara), Mohd Shukri Mohd Ramli kepada PDO hari ini.

"Saya banyak mendapat maklumat berlaku penyelewengan proses permohonan tanah yang berlaku seluruh negeri Pahang sejak sekian lama. Rakyat mohon tanah tak dapat, tapi mereka yang membayar jumlah tertentu mudah dapat dengan syarat setuju dengan harga dan membayar sebelum proses dibuat", kata Shukri.

Beliau turut mendedahkan, dia sudah lama mendapat maklumat ada pihak yang mengaut untung lumayan dengan menjual lot-lot tanah kepada mereka yang berminat.

"Bayaran dikenakan sekitar RM15,000 hingga RM35,000 bagi satu lot. Proses dilakukan dengan orang dalam dengan licik. Tambahan pula kerja-kerja ini juga didalangi oleh pihak-pihak berkepentingan. Sebab itu, tanah yang dipohon oleh rakyat marhaen diabaikan sebaliknya fail dilapiskan untuk diberikan kepada pihak lain", katanya lagi.

Tindakan ini menganiaya rakyat yang tidak mempunyai wang dan mengikut prosedur biasa. Menurut Shukri lagi, tanah yang dijual biasanya tidak mempunyai geran lagi dan pihak berkenaan (orang dalam) akan uruskan hingga geran dikeluarkan.

Maknanya, jika mahukan tanah bayar kepada orang dalam terlebih dahulu sebelum mereka memulakan kerja-kerja berkaitan.

"Hasil jualan tanah-tanah ini tidak masuk ke kantung kerajaan kerana ia dibuat secara pasaran gelap antara pembeli dengan pihak berkenaan. Perkara ini sudah lama berlaku malah ada pegawai  kerajaan yang kaya raya dengan aktiviti ini sebenarnya. Sebab itu rakyat biasa nak mohon tanah mereka tak  pandang... ada duit semua boleh jalan. Naya rakyat yang sudah meneroka tanah sejak berpuluh tahun apabila tanah yang dipohon akhirnya dijual kepada pihak lain dengan harga-harga tertentu", tambah Shukri lagi.

Beliau turut menggesa Menteri Besar Pahang yang baru untuk memantau isu ini jika tidak mahu hasil mahsul negeri berlaku ketirisan lagi seperti sebelum ini. Siasatan boleh dijalankan dengan rapi dan ada ramai pihak boleh membantu untuk berkerjasama sehingga pihak yang khianat ini tertangkap dan diambil tindakan sewajarnya. 

Beliau turut menggesa orang ramai  yang mengetahui aktiviti ini, atau teraniaya akibat tindakan pihak terbabit, boleh menghubungi talian hotline Angkara 0123854400 untuk memberikan maklumat lanjut. Inilah masanya rakyat melakukan perubahan, jika tidak senario ini akan berkekalan sampai bila-bila. 

"Kita mahu kembalikan wang kepada Kerajaan Negeri Pahang", tambahnya. #PDO

0 Komen Artikel Ini: