SELAMAT DATANG KE BLOG PERIBADI BLOGGER CUCUMATKILAU (CMK)

Agenda Jatuhkan MB, Usaha 'Tikam Belakang' Oleh 'Musuh Dalam Selimut' Wajar Di Halang Demi Selamatkan Kerajaan Pahang !

Usaha menjatuhkan kepimpinan Menteri Besar, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang kini sedang giat dilakukan oleh pihak-pihak tertentu.

Tujuan mereka ialah apabila Wan Rosdy berjaya dijatuhkan menerusi pemilihan UMNO, maka mereka boleh teruskan agenda agar beliau wajar melepaskan jawatan Menteri Besar Pahang, kerana sudah hilang sokongan akar umbi. 

Difahamkan, semua ini dilakukan kerana perasaan tidak puas hati yang masih menebal dikalangan pemimpin terbabit  gara-gara Wan Rosdy tidak mahu mengikut telunjuk mereka dalam penentuan calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 yang  lalu.

Perancangan dilakukan untuk menolak sesiapa sahaja pemimpin UMNO Pahang yang dipercayai rapat dengan Wan Rosdy pada pemilihan parti itu bermula Februari ini.

Sikap tidak puas hati, kononnya MB tidak mendengar suara mereka ketika memilih calon. Pihak terbabit beranggapan jika calon pilihan mereka  menjadi calon pada PRU-15 baru-baru ini, nescaya BN akan mendapat majoriti mudah 22 kerusi di DUN.

Gara-gara calon mereka tidak dipilih, maka gerakan menjatuhkan sesiapa saja calon BN akan dilalukan. Akhirnya ramai calon tewas dikerusi tradisi mereka, walhal pada PRU-15 mereka menang besar. Malahan ada yang berstatus Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang sebenarnya. 

Akibat rasa tidak puas hati, gerakan menjatuhkan calon terpilih dilakukan dan kini menjelang pemilihan UMNO, 'usaha yang sama' dilakukan demi percaturan politik pihak terbabit.

Beberapa pemimpin yang rapat dengan Wan Rosdy telah berjaya 'disingkirkan', kononnya merekalah punca kekalahan besar BN di Pahang. Kesilapan memilih 'calon boleh menang' dijadikan alasan kukuh bagi melaksanakan agenda mereka. 

Difahamkan, antara pemimpin kanan UMNO yang rapat dengan MB ialah bekas Exco Kerajaan Negeri Pahang iaitu  Dato' Sri Shahaniza Shamsuddin, Dato' Sri Sharkar Shamsuddin dan Dato' Sri Hj Nazri Ngah.

Kesemua pemimpin terbabit tewas di kerusi masing-masing pada PRU-14 lalu. Shahaniza di Parlimen Maran, Sharkar di Parlimen Temerloh dan Nazri di DUN Pulau Tawar. Selama ini mereka dikatakan antara pemimpin yang cukup rapat dengan Wan Rosdy. 

Satu lagi nama yang paling hangat diperkatakan ialah Dato' Tajul Razi Abdul Aziz yang sebelum ini adalah Setiausaha Politik (Setpol) Menteri Besar Pahang sendiri. Beliau antara individu yang banyak membantu pencapaian luar biasa Wan Rosdy sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negeri selepas PRU-14 pada 2018 lalu.

Ketika itu negeri Pahang tidak sealiran dengan kerajaan pusat yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan. Tajul Razi banyak membantu  Wan Rosdy menjadi Menteri Besar Pahang terbaik dalam sejarah apabila berjaya mencapai kutipan hasil negeri melepasi angka RM1 bilion. Ini sesuatu yang cukup luar biasa, sehingga ada pihak yang iri hati dengan beliau.

Kini Tajul Razi sudah bertukar ke Putrajaya dan menjadi Pegawai Tugas-Tugas Khas (PTTK), Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Biar pun ada pihak yang 'bertepuk tangan' dengan ketiadaan Tajul Razi, Shahaniza, Sharkar dan Nazri, namun harus dingat mereka juga ada jasa besar terhadap pembangunan negeri Pahang secara keseluruhannya. Cuma Sharkar agak beruntung apabila dia diangkat sebagai Speaker Dewan Undang Negeri Pahang (DUN) yang baharu selepas PRU-15 lalu.

Perlu diingat, gelombang penolakan rakyat terhadap calon-calon BN pada PRU-15 bukanlah hanya kerana soal 'calon itu' semata-mata. Andainya calon dari kalangan proksi pihak terbabit yang dipilih, belum tentu BN boleh menang seperti biasa. Malah situasi ini berlaku di seluruh negara.

Calon Perikatan Nasional (PN) lebih diterima, dipilih oleh rakyat terutama pengundi muda dan penjawat awam. Tawaran manifesto yang diberikan lebih menarik perhatian, itu belum termasuk sumbangan 'sedekah' agar mereka keluar dan mengundi calon PN.

Dengan duit minyak, tol, makan dan sebagainya maka sudah pasti tarikan pengundi muda terarah kepada calon PN sebenarnya. Sebab itu negeri Perlis tumbang. Malahan juga negeri Kedah, Terengganu dan Kelantan pula PN sapu bersih.  Termasuk di Pahang, 17 kerusi DUN tumbang hingga BN gagal membentuk kerajaan menerusi majoriti mudah dan terpaksa bersama PH pada kali ini atas nama 'Kerajaan Perpaduan'.

Rasanya, kalau 'calon pilihan mereka' dipilih pun belum tentu boleh menang. Apatah lagi jika ditambah dengan undi protes, sakit hati dan iri hati apabila calon mereka tidak diberi perhatian oleh Wan Rosdy. Perbuatan khianat terhadap calon BN inilah antara yang menjadi punca utama kekalahan itu sebenarnya.

Tidak 'berlapang dada' apabila calon mereka tidak terpilih sebagai calon PRU-15, lantaran itu sanggup melakukan agenda untuk menjatuhkan agar membuka mata semua pihak bahawa Wan Rosdy dan penasihat disekelilingnya membuat kesilapan besar hingga BN kalah teruk di Pahang pada PRU-15 lalu. Inilah yang dimomokkan kepada penyokong mereka agar bersetuju dengan usaha menjatuhkan Wan Rosdy melalui pemilihan parti tidak lama lagi.

Semua pihak sewajarnya tidak terpedaya dengan mainan persepsi hingga menyebabkan Wan Rosdy terpaksa mengenepikan beberapa individu yang bertungkus lumus menaikkan beliau sebelum ini. Seolah-olah kesalahan dan kekalahan PRU-15 itu diletakkan atas bahu-bahu mereka yang sebenarnya mahu melihat kejayaan dan pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang sedia ada terus kekal.

Justeru, usahlah terus cuba untuk menjatuhkan. Ini masa untuk sama-sama membantu bukan menghancurkan. Kepimpinan yang ada ini perlulah dipertahankan demi melihat negeri Pahang lebih aman dan makmur pada masa hadapan. Banyak lagi agenda pembangunan yang dirancang dan perlu dilaksanakan.

Usahlah terus berpolitik kerana perasaan dendam kesumat yang akhirnya boleh merosakkan kerajaan itu sendiri. Tidak perlu terus menuding jari menyalahkan pihak tertentu yang lebih banyak membantu pentadbiran kerajaan itu sendiri selama ini.

Apa yang kita risau, jika salah percaturan kelak Kerajaan Negeri Pahang itu sendiri akan jadi mangsa. Perlu diingat BN dan PN mempunyai jumlah kerusi yang sama (17) di DUN Pahang. Jika tampuk kepimpinan negeri tiba-tiba berubah, kita gusar 

Sebagai ahli yang setia kepada parti, usahlah menjadi 'musuh dalam selimut' yang sedang siap siaga 'menikam belakang'. Kata pepatah 'jika tiada angin, masakan pokok bergoyang'. Kadang-kadang kita rasa hebat merancang, tetapi kita jangan ingat mereka yang berkenaan berdiam diri dan sekadar menonton dari jauh semata-mata. Salam perjuangan ! 

BLOGGER CUCUMATKILAU (CMK)  People's Activist N Freedom Journalist  [ https://cucumatkilau.blogspot.com ]

0 Komen Artikel Ini: