SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN DARI CMK SEISI KELUARGA | SEBARANG ADUAN DAN PERTANYAAN BOLEH PM 0 1 2 - 3 8 5 4 4 0 0 (CMK)

Musang King: Kenapa Hanya Di Salahkan DAP, Sedangkan MCA 35 Tahun Berkuasa Di Raub !

 

Isu pencerobohan  tanah haram untuk penanaman durian 'Musang King' tidak wajar terus dipolitikkan oleh pihak tertentu, hingga terus menyalahkan Parti Tindakan Demokratik Rakyat (DAP) sepenuhnya atas pencerobohan tanah yang berlaku.

Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail dengan tegas pada satu kenyataan tidak mahu tindakan menghalang pekebun dan menebang pokok durian musang king itu dipolitikkan hingga menjadi isu perkauman. 

Saya hairan, kenapa pihak berkenaan terus menyerang DAP dalam isu ini. Seolah-olah Cina yang menanam durian musang king di Raub itu semuanya adalah orang-orang DAP. 

DAP hanya berkuasa di Parlimen Raub selepas calon mereka Dato' Ariff Sabri Abd Aziz menang pada PRU-13. Kemudian pada PRU-14 pula Tengku Zulpuri Tengku Puji pula menang dan berjaya mengekallan kerusi parlimen itu untuk dua penggal berturut-turut, bermula pada tahun 2018 hingga sekarang. 

Untuk rekod parlimen Raub dimenangi oleh calon MCA bermula pada tahun 1978 (Tan Koon Swan), 1982 (Tan Tiong Hon), 1986 (Teng Gaik Kwan), 1990 (Teng Gaik Kwan ), 1999 (Ng Yen Yen) dan 2008 (Ng Yen Yen). Bermakna enam penggal MCA menguasai parlimen Raub sebenarnya.

Sedangkan isu pencerobohan tanah haram kerajaan oleh pekebun musang king ini dilaporkan telah bermula sejak awal tahun 70an lagi. Siapa yang lebib berkuasa di Parlimen Raub ketika itu. Bahkan ketika MCA menang, Kerajaan Negeri Pahang diperintah oleh Barisan Nasional (BN) yang mana MCA adalah parti komponennya. 

Kenapa DAP yang baru lapan tahun itu harus dipersalahkan 100%?. Kenapa mereka tidak langsung salahkan MCA? Walhal, calon DAP itu ialah orang Melayu Islam dan Kerajaan Negeri Pahang masih diperintah oleh Barisan Nasional (BN). 

Mereka yang terlibat dalam isu  musang king ini bukan semuanya berbangsa Cina. Katanya ada ramai juga orang Melayu yang terlibat terutamanya peserta RPS Sungai Chalit yang merupakan penyokong kuat UMNO Barisan Nasional sejak sekian lama.

Kenapa sebahagian orang Melayu yang terlibat ini tidak disedari dan didedahkan? Kenapa hanya menfokuskan kepada pekebun bangsa Cina sahaja dan mengaitkan DAP sebagai dalang di sebalik pencerobohan ini. 

Sedarkah MCA telah berkuasa puluhan tahun di Parlimen Raub, dan kuasa ke atas hutan dan tanah adalah dibawah pentadbiran kerajaan negeri, bukan kerajaan pusat. 

Maka, jika puluhan tahun pencerobohan haram ini dibiarkan tanpa sebarang tindakan ia bermakna  Kerajaan Negeri Pahang sendiri telah gagal dalam urusan pentadbiran akibat maklumat yang disembunyikan oleh mereka yang khianat dan bersekongkol dengan isu ini. Sebab itu beliau menggesa Menteri Besar Pahang menyiasat pihak terbabit sama.

Sepatutnya Kerajaan Negeri Pahang mendapat maklumat tepat daripada pemimpin di Raub tentang aktiviti pencerobohan ini. Bukankah salah seorang pemimpin politik Raub juga lama berada dalam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang. 

Apakah beliau tiada langsung maklumat tentang pencerobohan ini? Siapa yang sepatutnya melaporkan kepada beliau selaku Ketua UMNO Bahagian Raub dan Exco Kerajaaan Negeri? Pemimpin setempat seperti Penghulu, Tok Empat, Pegawai Daerah, Yang Di Pertua Majlis dan sebagainya. Takkanlah tiada langsung laporan atau aduan yang diterima,  boleh dibawa dalam mesyuarat MMK setiap hari Rabu di Wisma Sri Pahang. 

Kenapa baru sekarang nak sedar ada pencerobohan? Bukan seekar dua tapi 11,000 ekar hutan yang diceroboh keseluruhannya. Mana pergi Jabatan Perhutanan Raub, Majlis Daerah Raub, Jabatan Pertanian Raub, Jabatan Tanah Dan Daerah Raub serta lain-lain agensi berkenaan selama ini?. 

Jika tiada laporan, bermakna isu ini sengaja disembunyikan oleh pihak tertentu terutamanya yang kuasa di Raub. Mereka ini mungkin bersekongkol atas industri durian musang king yang menguntungkan ini. 

Mereka semua harus dipertanggungjawabkan walau pun sudah bersara dari perkhidmatan. Mereka sanggup tutup mulut dan mata tanpa melaporkan pencerobohan ini kepada pihak atasan. Maknanya mereka khianat kepada tanggungjawab dan memperdayakan Kerajaan Negeri Pahang ketika itu. 

Mujurlah ada Menteri Besar, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail yang prihatin dan mendedahkan isu ini. Jika tidak pasti kita hanya tau Raub popular dengan musang king dan tidak tahu ia ditanam secara haram tanpa sebarang tindakan oleh pihak berkuasa selama ini. 

Justeru, sebagai aktivis bebas dan tidak cenderung kepada mana-mana parti politik saya berharap semua pihak jangan hanya menyalahkan DAP semata-mata, walhal penglibatan MCA dan lain-lain komponen BN juga harus didedahkan.

Jika tiada penglibatan pihak berkuasa, pasti isu ini dah lama terbongkar. DAP menang di Raub pada 2013. Kenapa ketika DAP menang di Parlimen Raub lapan tahun lalu, isu ini tidak berbunyi. Selepas ada syarikat diberi kuasa oleh Kerajaan Negeri Pahang barulah isu ini hangat semula. 

Semua mereka yang salah kerana menceroboh perlu di dakwa dan bawa ke muka  pengadilan, termasuk kakitangan jabatan berkaitan yang bersekongkol dengan pencerobohan ini walau pun sudah bersara. 'Musang berbulu ayam' dan 'musang berjanggut' ini perlu dihukum.  

Saya harap semua pihak faham dan hormat antara satu sama lain. Usahlah  cuba memburukkan keadaan. Biarlah kerajaan menentukan tindakan yang harus diambil dengan sebaik mungkin.

Difahamkan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah  menjalankan siasatan sejak tahun lalu, namun setakat ini belum ada sesiapa yang ditangkap atau pun didakwa atas kes rasuah dan pecah amanah dalam isu ini. 

0 Komen Artikel Ini: