Kenyataan Tiga Jabatan Buktikan Kerajaan Gagal Tangani Isu Alam Sekitar Tasik Chini Selepas Diikhtiraf Rizab Biosfera UNESCO !

  


Apa pun terjadi saya  tetap berpendapat Kerajaan Negeri Pahang gagal menangani isu alam sekitar dan pencemaran Tasik Chini, biar pun kenyataan telah dibuat oleh jabatan berkaitan. 

Ini kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh jabatan terbabit iaitu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang, Pejabat Pengarah Tamah Dan Galian (PTG) Pahang, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Pusat Penyelidika Tasik Chini (PPTC) dilihat lebih menjurus kepada pemulihan Tasik Chini selepas ia diwartakan sebagai Hutan Simpan pada 2019 dan Taman Negeri pada 2020.

Saya setuju dengan langkah pemulihan yang dijalankan, namun saya tetap tidak bersetuju apabila mereka yang membiarkan Tasik Chini hancur musnah sebelum tahun 2019 seolah-olah lepas tangan dan tidak diambil tindakan termasuk membayar pampasan akibat kerosakan alam sekitar Tasik Chini. 

Bukankah pada 2009, Tasik Chini yang diiktiraf Rizab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sesungguhnya kaya dengan khazanah alam semulajadi dan keindahan flora fauna.  

Maka sepatutnya bermula pada tahun tersebut, Kerajaan Negeri Pahang sudag mengawal pencemaran Tasik Chini. Namun sejak 2009, persekitaran kawasan itu semakin terjejas akibat kegiatan pembalakan, perlombongan dan perladangan yang tidak terkawal di sekelilingnya.

Kawal dan melindungi Tasik Chini daripada aktiviti guna tanah yang boleh merosakkan alam sekitar seperti pembalakan dan juga perlombongan. Namun kerajaan jelas gagal melaksanakan tugas tersebut. 

Ketika PRK DUN Chini Julai tahun lalu, Saya juga kerap turun ke Tasik Chini untuk melihat kehancuran dan kemusnahan alam yang berlaku kerana misi saya bertanding ketika itu ialah" Selamatkan Tasik Chini". 

Saya melihat kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang, yang mendakwa air Tasik Chini dikategorikan sebagai bersih agak mengelirukan. Ini kerana terdapat banyak aduan daripada orang asli Tasik Chini tentang kemusnahan tasik dari segi lumpur dan tasik cetek, ikan mati, pokok teratai pupus, ikan pupus dan air mandian yang gatal-gatal pada kulit. 

JAS hanya bicara soal air bersih, sedangkan isu yang dipertikaikan ialah kerosakan alam sekitar itu sendiri dari segi hutan yang ditebang, bukit yang ditarah dan tanah yang digondolkan. Ia jelas sekali tidak relevan dengan pencemaran alam sekitar secara keseluruhannya. 

Pejabat Pengarah Tamah Dan Galian (PTG) Pahang semalam mendakwa sebanyak 14 kawasan lombong telah diluluskan sebelum pewartaan dibuat tahun 2019, bagaimanapun selepas pewartaan, tiada lesen baharu dikeluarkan.

PTG Pahang juga menyatakan daripada 14 kawasan perlombongan ini, hanya dua perlombongan yang masih beroperasi. Namun lesen itu dijadualkan akan tamat pada bulan ini dan satu lagi akan pada hujung tahun.

Maka timbul persoalan, jawapan dari PTG itu mengesahkan adanya aktiviti perlombongan yang diluluskan sebelum 2019. Maknanya antara 2009 hingga 2019 ada 14 lesen diluluskan diketika Tasik Chini sudah diisytiharkan sebagai Rizab Biosfera UNESCO. Maknanya Kerajaan Negeri Pahang dilihat gagal memainkan peranan untuk menjaga, mengawal dan melindungi alam sekitar tasik semulajadi kedua terbesar di Malaysia itu. 

Bayangkan jika satu lesen melombong luasnya antara 500 hingga 1,000 ekar. Bukankah begitu luas kawasan yang digondolkan, ditarah hingga mencemar serta merosakkan flora dan fauna Tasik Chini sebenarnya. 

Malah, daripada video dan gambar yang disebarkan jelas sekali aktiviti perlombongan dijalankan hingga ke tepi tasik itu sendiri. Biar pun ia belum diwarta sebagai Hutan Simpan dan Taman Negeri, maka apakah kerajaan negeri yang sama tidak langsung rasa bersalah?. 

Kamu sudah benarkan hasil mahsul diangkut, bukit bukau digondolkan dan tasik tercemar tiba-tiba kamu dakwa lesen diluluskan di luar kawasan hutan simpan kerana ia berlaku sebelum tahun 2019. 

Saya rasa beberapa orang exco kerajaan negeri yang ada sekarang sudah berada berkhidmat sejak kerajaan negeri yang terdahulu yang dipimpin oleh Datuk Sri DiRaja Adnan Yaakob. 

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga merupakan exco dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) ketika itu. Apakah anda semua yang ada dalam mesyuarat hanya bersetuju dan benarkan begitu banyak lesen melombong diluluskan.  Sedangkan anda tahu bermula pada 2009, sepatutnya Tasik Chini dipelihara kerana menjadi Rizab Biosfera UNESCO. 

Saya juga tertaruk dengan Kenyataan dibuat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), yang mendakwa jabatan terbabit lebih fokuskan kepada pemulihan hutam. 

JPNP akan mencadangkan supaya keseluruhan Hutan Simpan Chini, Pekan diwartakan sebagai Hutan Perlindungan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.  Turut dinyatakan peruntukan dianggarkan berjumlah RM10 juta akan digunakan untuk memulihkan kawasan seluas kira-kira 202.34 hektar di hutan tersebut. 

Bagi saya sepatutnya peindungan hutan telah dibuat sejak 2009. JPNP wajar guna kuasa yang ada untuk memastikan tiada pencerobohan hutan dan tiada penebangan hutan dikawasan Tasik Chini sebelum 2019 lagi. Kini selepas segalanya hancur, pokok pokok balak dicuri, ditebang barulah mahu dibuat pemulihan secara sistematik. 

Sumber. Harian Metro 19 Sept 2020

Kenapa sekarang, kenapa tidak sebelum 2019? Hasil mahsul sudah dibawa keluar, masing-masing sudah  kaut untung kemudian JPNP pulihkan dengan tanam semula. Berapa tahun agaknya pokok balak akan membesar seperti sediakala?. 

Sumber: Sinar Harian 5 Jan 2020

Akhir sekali saya turut ingin mengulas kenyatan Kerajaan Negeri Pahang dan Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) sentiasa konsisten ke arah memulihara dan memelihara kelestarian Tasik Chini agak lewat sebenarnya.

Baru sekarang nak pulihara dan pelihara dengan konssisten? Jika konsisten sepatutnya ia telah dilaksanakan sebelum 2019, sejak Tasik Chini diikhtiraf Rizab Biosfera UNESCO. Kamu luluskan lesen melombong hingga hancur alam sekitar kemudian kamu dakwa konsisten?.  Mudah benar kenyataan yang dikeluarkan, namun ia tidak berpijak dibumi yang nyata. 

Pada Februari 2019 pernah didedahkan Sekurang-kurangnya dua lombong haram dikesan berhampiran Tasik Chini, yang beroperasi tidak mengikut spesifikasi sehingga menjejaskan alam sekitar di situ. Dua kawasan berkenaan terletak di tapak pembinaan sebuah projek pembinaan dan ditepi tasik berhadapan Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) sendiri.

Sumber: Berita Harian 23 Feb 2019

Saya melihat, kenyataan demi kenyataan yang dibuat oleh jabatan yang  berkenaan tidak lebih hanya untuk meredakan situasi ini semata-mata. Ia sekadar diatas kertas, sedangkan hakikat  yang  berlaku di lokasi tidak seperti yang digambarkan. Tambahan pula apabila isu ini sudah reda kelak. 

Berbagai cara dan kaedah sudah dibuat oleh rakyat marhaen selama ini. Namun, apa yang berlaku? Tasik Chini terus tercemar, musnah dan hancur dibuat dek tangan-tangan manusia. Biar pun orang asli yang mendiami Tasik Chini merintih mengharapkan simpati agar ia tidak dihancur dan dirosakkan, namun siapalah yang mahu mendengarnya. 


Saya difahamkan pada satu memorandum pernah dihantar kepada Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 10 April 2012. Ketika itu Nakib ialah Perdana Menteri Malaysia.  Memorandum untuk memulihkan kemerosotan Tasik Chini itu sepatutnya berjaya menyelamatkan alam sekitar tasik terbabit. Namun apa yang berlaku? Ada kerajaan mendengar rintihan rakyat marhaen?. 


Jika kerajaan serius untuk menjaga kelestarian alam sekitar Tasik Chini, sejak dulu lagi sudah ambil tindakan. Bukan selepas hasil mahsul seperti kayu balak dan bijih besi sudah dikeluarkan seperti sekarang. Selepas dikorek, ditarah dan digondolkan baru mahu bercerita bab pemulihan dan pemeliharaan. Walhal pihak yang luluskan lesen adalah kerajaan yang sama, bukan berbeza. Rakyat melihat ini adalah satu kegagalan bukan kejayaan sebenarnya. 

Justeru saya menggesa Kerajaan Negeri Pahang mengambil ikhtibar atas apa yang  berlaku ini. Usahlah menganggap dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh jabatan berkenaan maka ia dilihat kejayaan.

Mungkin dengan kerajaan baharu dibawah pimpinan Menteri Besar yang baharu, hasrat untuk melihat Tasik Chini pulih semula dapat tercapai. Namun jika sebaliknya,  biarlah rakyat menilai janji yang dilafazkan kerana suara rakyat suara keramat. 

Malah, melihat komen netizen terhadap kenyataan yang dimuatnaik oleh jabatan terbabit laman facebook, membuktikan rakyat tidak boleh terima semua ini. Banyak kecaman dan hantaran berbaur sinis dilontarkan oleh para netizen, termasuk warga Felda gugusan Chini sendiri. Selamatkan Tasik  Chini.

"CAKNA DEMI RAKYAT" 

MOHD SHUKRI B MOHD

RAMLI @ JAMALUDDIN

Wakil Rakyat Marhaen

D  U  N    T  E  R  J  A  H

www.cucumatkilau.blogspot.com

www.angkaraterjah.blogspot.com

Dapatkan Lagi Berita Suara Rakyat, Sila

Like, Follow, Share Subscribe > CMKTV

https://youtube.com/channel/UCOMX71-R0Nw0VI5uwexZmPg [[ SUPPORT US ]]

0 Komen Artikel Ini: