SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN DARI CMK SEISI KELUARGA | SEBARANG ADUAN DAN PERTANYAAN BOLEH PM 0 1 2 - 3 8 5 4 4 0 0 (CMK)

Usah Jadikan Hutan Simpan Kekal Sebagai Sumber Kekayaan Kroni Dan Proksi Semata-Mata !

 

Beratus-ratus ekar lagi Hutan Simpan Kekal  telah diluluskan lesen untuk pembalakan di sebuah negeri dalam Malaysia tanahairku. 

Katanya mahu dijadikan projek tanam pokok hutan. Berbagai projek dijadikan alasan untuk keluarkan kayu. Sungguh bijak mereka kaburi mata rakyat. Dulu-dulu masih ingat lagi bila balak dikeluarkan mereka gunakan alasan mahu dijadikan projek tanaman kontan, jagung, ubi keledek,  pokok roselle untuk orang-orang kampung. Kemudian guna alasan dijadikan pusat ternakan ayam, kambing, lembu pawah, rusa, burung unta dan lain-lain binatang ternakan yang difikirkan sesuai. 

Pendek kata macam-macam alasan dicipta bagi menghalalkan kerja buat mereka. Rakyat dipaksa percaya. Terkadang siap ada majlis rasmi lagi. Maka bertepuk tanganlah rakyat, seronok sebab dapat projek yang dijanjikan. Kemudian didatangkan beberapa ekor binatang ternakan dan ditanam beberapa batang pokok sebagai simbolik. Selepas itu maka, mulalah pokok-pokok balak ditebang dan lori balak keluar masuk bawak hasil mahsul dari hutan.

Selepas beberapa bulan balak itu dikeluarkan, tidak kelihatan lagi pokok atau binatang yang dijanjikan. Projek entah ke mana? Balak sudah disapu, duit mereka sudah balun. Bila duit-duit sudah habis, mereka intai pula kawasan hutan mana lagi yang mahu ditarah dan digondolkan. Mereka tidak akan berhenti sekerat jalan sebab sekali melangkah mereka buat selamanya.

Kita tahu Hutan Simpanan Kekal adalah bermaksud mana-mana tanah (tanah berhutan dan tidak berhutan) yang diwartakan atau disifatkan telah dijadikan sebagai HSK untuk tujuan perhutanan di bawah seksyen 7, 8 dan 9 Akta Perhutanan Negara 1984. Kawasan tersebut ditadbir sepenuhnya oleh Jabatan Perhutanan Negeri (JPN) dan semua hasil hutan dalam kawasan ini adalah milik Kerajaan Negeri. Di bawah seksyen 10 (1) Akta yang sama,HSK dikelaskan kepada dua (2) kategori yang utama iaitu (i) hutan pengeluaran dan (ii) hutan perlindungan.

Definisi di atas jelas memberitahu bahawa Hutan Simpan ditadbir atau diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri dan di bawahnya terdapat dua lagi sub-kategori iaitu hutan perlindungan dan hutan pengeluaran.

Ini bermaksud di dalam hutan simpan kita, terdapat kawasan hutan perlindungan, yang telah dikategorikan khususnya untuk usaha perlindungan. Hutan perlindungan ini perlulah dilindungi sepenuhnya daripada aktiviti manusia yang bisa memusnahkan. Di bawah hutan perlindungan ini ia dikelaskan lagi untuk 11 lagi tujuan khusus sebagaimana yang dinyatakan di dalam gambarajah di bawah. Rujuk Seksyen 10(1) b-l.

Sebab itulah hutan yang sepatutnya dilindungi perlu dipertahankan kerana ia menjadi tadahan hujan. Apabila digondolkan, musibahnya buat rakyat marhaen yang terpaksa berhadapan dengan banjir lumpur dan berselut yang cukup menyiksakan. Peliharalah hutan yang menjadi tadahan hujan. Namun, mereka yang terlibat tidak ambil kira semua itu. Asalkan dapat hasil. 

Jika tidak dapat secara halal, misalnya lambat dapat lesen atau cerewet sangat maka itulah 'plan kedua' digunakan iaitu menceroboh. Dek kerana mereka yang terlibat ada kuasa dan duit semua ini boleh digerakkan dengan mudah. 

Maka itulah kita tidak pelik pencerobohan ini berlaku setiap masa. Sebab duit inilah diguna untuk survival politik masing-masing sejak sekian lama. Hatta mahu bertanding jawatan pun mereka terpaksa gunakan dulu duit tokey dan berjanji bila menang akan kontra bagi kawasan. Jika tak lulus, masuklah secara senyap atas nama 'pencerobohan halal'. 

Inilah kerja mereka sejak sekian lama tanpa disedari oleh rakyat marhaen. Bila ada yang sedar, mereka tutup mulut dengan 'wang ringgit' agar diam dan tidak berani untuk bersuara bertanyakan projek yang dijanjikan kepada orang kampung. Bila ada yang cuba nak bersuara, akan diberi amaran tidak akan dapat apa jua kemudahan dari wakil rakyat.

Lebih baik tutup mulut hingga rakyat akhirnya lupa. Tambah parah lagi ada pula kawasan yang janjikan projek kemudahan untuk rakyat seperti bina sekolah, hospital,  masjid, dewan dan sebagainya. Tapi balak sudah pun disapu, projek entah ke mana.

Apabila banjir lumpur melanda pakat kauntim jangan mengaku dan nafikan. Walhal orang kampung semua tahu tadahan air hukan dan pasak bumi sudah rebah menyembah bumi. Mereka ada kuasa dan boleh cakap apa saja, agar konsep 'matlamat menghalalkan cara'  tidak diketahui langsung oleh rakyat  jelata.

Begitu cepat mereka arahkan pihak terbabit 'cover line' konon bukan kerana kawasan yg digondolkan itu datangnya lumpur. Padahal banjir besar tahun 1971, kata orang tua-tua dulu, lebih besar dari hari ini. Tak ada pulak lumpur dan selut melanda. Sebab hutan itu masih terpelihara, tidak ditarah sesuka hati. 

Hutan Simpan Kekal, tapi kekal disimpan buat proksi dan kroni. Rakyat marhaen tengok saja dan tunggu pilihan raya adalah 'dedak ditabur' untuk rayuan dapatkan kuasa. Duit poket akan masuk sebagai berita gembira untuk seketika. 

Selepas itu lima tahun rakyat merana. Hanya beberapa kerat sahaja yang mennikmati hidup mewah dengan hasil mahsul balak dari hutan.

Bila ada yang berbunyi dan buat pendedahanm aka bertempiklah mereka jangan buat fitnah, jangan menuduh, jangan provokasi dan jangan buat cerita palsu. Mereka buat ugutan kepada rakyat yang bangkit bersuara atau melawan. Baik orang Melayu mahu pun orang-orang asal mereka akan pekakkan telinga jika ada apa jua bantahan. Apa yang lebih penting keuntungan yang akan diagih-agihkan sesaka mereka itu lebih diutamakan. Bila rakyat terus melawan, mereka gunakan pihak berkuasa atau pun mahkamah untuk 'menutup mulut'.

Inilah realiti yang berlaku sejak sekian lama. Kuasa dan undang-undang jadi bahan mainan kepada rakyat marhaen tetapi tidak kepada golongan kayangan. Sebab itulah berlaku kes di sana sini, rakyat marhaen masuk hutan simpan hanya untuk lalu sahaja, atau berkelah dan memancing ikan. Maka mereka akan tangkap dan dakwa kerana menceroboh.

Tidak kira siapa kita, asalkan rakyat marhaen maka kita dilarang masuk hitam simpan. Walau pun hanya berjalan semata-mata.

Tapi bila ada jentera masuk tebang balak, mereka buat-buat tak nampak. Hinggalah habis beratus-ratus ekar kawasan ditebang barulah operasi dijalankan dan media dipanggil kononnya berjaya membenteras pencerobohan hutan. Walhal beribu-ribu tan sudah dibawa keluar mereka langsung tidak sedar. Tapi bila rakyat marhaen jejak sebelah kaki sahaja, mereka sudah boleh menghidunya. Hebat orang-orang kita buat kerja. Inikah dikatakan profesional dan berintegriti agaknya. 

Walhal umum mengetahui, tidak mungkin si penceroboh berani kalau tiada pihak yang 'cover line'.  Inilah hakikat yg berlaku sejak sekian lamanya. Justeru, ubahlah demi masa depan anak-anak dan generasi akan datang.

Jangan biarkan Hutan Simpan Kekal tempat untuk mereka kaya raya buat duit selamanya.

Caranya, tolak mereka yang kita tahu belakon depan kita tidak tahu menahu, belakang kita siap dah 'kautim'  asalkan 'cover line'  supaya penceroboh aman dan selamat. Sebab itulah kita tengok, bila ditangkap hanya beberapa ketul kayu balak yang dapat. Beribu-ribu balak sudah pun dibawa keluar dengan selamat. Buat-buat terkejut dan sedih, hutan diceroboh. Walhal poket kembong belaka dapat untung. Inilah senario yang berlaku sebenarnya.

Sebab itulah, beberapa kerat pekerja ditangkap tapi berapa kalikah anda tengok tokey kilang balak ditangkap atau didakwa? Walhal kalaulah  mereka yang berkuasa siasat pekerja yang ditangkap, pasti akan tahu mereka dari kilang mana. Mudah nak tangkap, tokey tersenyum sebab dah kira untung. Bayar ikat jamin dan pekerja yang ditangkap pun dilepaskan. Ada pihak terbabit sedar senario yang berlaku ini?.

Maka, sampai kiamat isu ini tidak akan habis sebab adanya pengkhianat dan talibarut yang dah kautim siap-siap. Ada yang uruskan pelan dan kawasan. Ada yang uruskan pemimpin setempat di kampung sekitar kawasan. sebab itulah lori bawa balak lalu dah tak nampak.

Walhal lori lalu ikut jalan hutan kampung dan bukannya ikut udara. Nampak, tapi kenalah buat tak nampak sebab dah kautim dari atas sampai ke bawah. Seronok masing-masing mengira duit keuntungan. Persetankan alam sekitar yang rosak digondolkan asal masyuk.

Justeru sempena dengan Hari Alam Sekitar Sedunia pada 5 Jun 2021, marilah kita terus bersama lindungi dan selamatkan hutan kita daripada terus dicerobohi oleh kerakusan tangan manusia. Caranya salurkan maklumat apabila terlihat bukti ada pencerobohan hutan di kawasan anda.  Selamatkan hutan kita. 


" S E L A M A T K A N  A L A M  S E K I T A R "


By WAKIL RAKYAT MARHAEN

Blogger Cucumatkilau [ CMK ]

0 Komen Artikel Ini: